MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

POLITIK ANWAR PENUH DENGAN ‘ INTRIGUE’

Prakata: Tulisan ini penuh dengan kontroversial yang mana ianya boleh ditafsirkan sebagai menyanggah DSAI dan perjuangan reformasi. Bagaimana pun ianya disiarkan untuk anda memikirkan di mana baiknya fakta yang dihujahkan meskipun terpaksa menelan yang pahitnya

Webmaster

Tidak ramai yang mengetahui perjalanan kerjaya politik ‘dalaman’ Anwar semasa beliau masih dalam UMNO. Kalau ada yang tahu pun mereka hanya berdiam diri sahaja. Apatah lagi dengan kedudukannya yang begitu kuat dan dianggap pula bakal pengganti Mahathir untuk jadi Perdana Menteri.

Kini setelah Anwar digugurkan dari jawatan dan sekaligus parti, segala tindaktanduknya mulai ketara dan ramai yang mula bercakap mengenainya. Ramai yang merasai Anwar tidak adil pada semua orang malah dirinya sendiri apabila beliau bercakap tentang konspirasi. Dia sering menyebut dirinya menjadi mangsa konspirasi. Sebenarnya untuk kita ketahui siapa yang sebenarnya berkonspirasi ke atas siapa teruskanlah menatap huraian yang ditulis berperingkat-peringkat ini.

NIAT DI PINTU UMNO

Seawal di tahun 1982 lagi, apabila Anwar mula menjejak kakinya di pintu UMNO, sudah terdetik di hatinya untuk ‘ke sana’ atau ke tempat nombor satu dalam parti. Dia dan rakan-rakannya yang setia dalam ABIM sudah mula berancana untuk melonjakkan Anwar ke laluan kuasa atau Corridor of Power. Ramai daripada rakan-rakan dalam ABIM, yang pada mulanya ragu-ragu dengan ‘prinsip’ Anwar diyakini bahawa amat penting bagi Anwar untuk berada dalam UMNO jika ABIM mahu berjaya dalam perjuangan mereka. Ahli-ahli ABIM yang tulin dan keliru pada mulanya, berjaya diyakini oleh tokoh seperti Kamaruddin Jaafar, Kamaruddin Md. Noor dan kemudiannya, Fuad Hassan, Siddik Fadil, Md. Nor Manuti dan sebilangan lagi yang sudah merasai nikmat dunia hasil dari kecapaian Anwar itu.

Anwar juga pasti bahawa dia boleh ‘ke sana’ dengan naungan Mahathir dan melalui strategi politiknya sendiri. Kemasukannya ke dalam UMNO secara ‘paracut’ itu akan dipergunakan seluas-luasnya. UMNO, malangnya, adalah sebuah parti yang lekas pelupa, terutamanya golongan muda yang kurang mengetahui kisah-kisah Anwar memijak bendera UMNO. Golongan veteran pula atas kepentingan politik sendiri dan juga perlu akur dengan Mahathir terpaksa menerima Anwar.

Orang pertama, sebenarnya yang menjadi mangsa atas kemasukan Anwar ialah Pak Lah Badawi. Malang atau bagusnya, Pak Lah Badawi selalu menganggap orang lain baik dan lurus sepertinya. Malah apabila Anwar diletakkan untuk bertanding di Permatang Pauh, menentang Hj. Zabidi dari parti PAS, orang-orang UMNO di Permatang Pauh sendiri yang berkeras-keras menentang keputusan ini. Pak Lah lah yang mempertahankan keputusan ini sebagai membela Mahathir. Orang-orang Pak Lah turut berkempen keras untuk memenangkan Anwar.

Bila Anwar, yang juga berasal dari Pulau Pinang, menang dalam Pilihanraya 1982 itu, Pak Lah sebenarnya sudah kesempitan ruang. Seperti kata-kata lagenda John Wayne dalam filem western, "The town is too small for both of us!". Suka atau tidak Pak Lah harus menerima Anwar, lantas beliau pernah berkata, "Hakikatnya Anwar masuk UMNO beliau sudah mengorbankan prinsipnya". Manakala Fatah, Setiausaha Politik Pak Lah pula pernah berkata dengan sombongnya, "Kita dah kepit Anwar di bawah ketiak kita!". Selepas itu, kita tidak tahulah siapa di bawah kepitan ketiak siapa?

BTN YANG LURUS DAN SETIA

Anwar bijak menipu. Kempen pilihanraya yang menyaksikan dia bertanding buat pertama kali di Permatang Pauh, dia banyak menggunakan jentera Pak Lah yang rata-ratanya terdiri dari budak-budak BTN yang berbelah bagi menyokong Anwar. Mereka lebih keberatan daripada sanggup. Namun kerana amanah Pak Lah bahawa "..Kita perlu memenangkan Anwar, kalau tidak Mahathir akan di tuduh berhasrat untuk memusnahkan politik Anwar...", maka mereka pun dengan taatnya beroperasi menyokong Anwar, walaupun Anwar barangkali tidak sedar.

Dalam satu sessi ceramah di Permatang Pauh, apabila Pak Lah turun untuk memperkenalkan jagoan muda ini, Anwar dengan rendah dirinya menyebut.. "Pak Lah ni lebih dari saudara kandung saya sendiri..." Sungguh bijak Anwar mengeluarkan kata-kata manis yang merupakan asas putar belitnya berpolitik yang kemudiannya dipergunakan dengan seluas-luasnya.

Pembohongan pertama Anwar yang cukup ketara ialah apabila dia berhasrat untuk melawan Hj. Suhaimi bagi jawatan Ketua Pemuda. Ayatnya yang mula ialah "Saya tidak akan bertanding melawan Hj. Suhaimi. Pemuda UMNO di bawahnya sudah cukup elok." Selang dua hari selepas dia berkata begitu, dia menyatakan hasrat untuk mencabar Hj. Suhaimi. Manakala kuncu-kuncunya pula giat berkempen bahawa Mahathir berkehendakkan Anwar mengganti Hj. Suhaimi. Maka menanglah Anwar.

ANGKARA 2M

Menjelang 1987, kekuatan Anwar menjadi lebih mantap apabila timbul pergeseran Mahathir dan Musa yang kebetulan juga tercetus hasil dari konspirasi Anwar dan puak-puaknya. Musa yang kebetulan ghairah untuk cepat mengganti Mahathir melakukan kesilapan-kesilapan strategi politik. Dia cuba merajuk malangnya tidak dipujuk, maka kerjaya politiknya jadi teruk.

Politik kotor Anwar mula menyusahkan veteran-veteran UMNO yang lain. Mereka yang dari dahulu lagi susah untuk menerima Anwar segera melarikan diri dari Mahathir dan membentuk ‘Team B’. Kesilapan mereka sebenarnya adalah marah mereka terhadap Anwar itu lebih ditujukan kepada Mahathir. Mereka enggan mengasingkan Anwar dari Mahathir. Akibatnya mereka bukan menentang Anwar, tetapi menentang satu institusi yang bernama Mahathir. Lagi kuat mereka menentang Mahathir lagi kuat pertalian politik Mahathir dengan Anwar.

Penyerahan kuasa Ketua Pemuda secara licin dari Anwar ke Najib menjadi senjata muktamad memenangkan Mahathir ke atas Ku Li. Dan sekaligus Anwar mendapat ganjaran sebagai Naib Presiden yang ke tiga, satu tangga lagi untuk ‘ke sana’.

Menjelang pemilihan UMNO 1990, Anwar sudah berangan-angan untuk mencabar Ghaffar. Hanya kali ini, beliau ketakutan sedikit untuk merancangkan tindakan jahatnya itu. Apabila ada ura-ura untuk mencalunkan dia dari beberapa Bahagian, Anwar lebih berdiam diri, kerana dia sendiri tidak pasti adakah seorang Naib Presiden yang ke-3 boleh mencabar Timbalan Presiden dalam konteks nilai dan budaya UMNO. Perkara ini ‘unprecedented’ dan Mahathir sendiri nampaknya tidak begitu mahu melayan pemikiran-pemikiran ini. Bagaimana pun satu atau dua bahagian cuba-cuba bangkitkan pemikiran bagi usaha ini. Anwar sendiri tidak mengenepikan kemungkinan tersebut. Bagaimana pun atas kepercayaan bahawa Mahathir masih selesa dengan Ghaffar, usaha ini hanya tertumpu di kalangan kuncu-kuncu Anwar sahaja, yang kebetulan belum bertapak begitu kuat di dalam UMNO lagi. Akhirnya hasrat itu tidak diambil berat lagi. Tetapi hal ini membantu Anwar meletakkan dirinya di tempat yang lebih baik iaitu mendapat tempat pertama di barisan Naib Presiden.

KONSPIRASI MEDIA BERMULA

Ini menjadi rangsangan yang kuat baginya untuk menyediakan dirinya ke tempat nombor dua pada tahun 1993. Banyak peristiwa dan faktor-faktor yang melicinkan gerakan Anwar pada tahun-tahun menjelang pertandingan 1993 itu. Kerenah sidang pengarang Utusan Malaysia, yang sebenarnya di dalangi oleh Samad Mahdi, anak saudara Mahathir dalam mempersoalkan sikap Mahathir terhadap bahasa Malaysia, membantu Anwar meletakkan ‘orangnya’ Johan Jaafar mengganti Zam sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan. Zam menjadi mangsa kepada tangan celupar Samad.

Perlantikan Johan Jaafar merupakan faktor penting dalam serangan media bagi membantu Anwar. Johan, Nazri Abdullah (Berita Harian), Rahman Sulaiman (MP Parit Buntar, ketika itu Ketua Pengarang Bernama) sering bertemu untuk merancang satu konspirasi menentang Ghaffar. Ironisnya, Johan sering mempertikaikan tentang ‘teori konspirasi’ dalam penulisannya. (Mungkin mahu membersihkan kesan-kesan cap jarinya).

Di satu pihak lain pula, kegagalan Ghaffar dalam menyediakan dirinya sebagai pengganti Mahathir juga turut menguatkan lagi azam Anwar untuk mengambil alih jawatan Timbalan Presiden itu. Ghaffar tidak serius. Dia menyangka jawatan nombor dua itu adalah hadiah istimewa baginya sebagai seorang pejuang bangsa. Dia ‘took things for granted’ Dia fikir sebagai orang tua parti ahli-ahli parti tetap setia dan tidak berbelah bagi dengannya. Dia lupa pada masa itu, gelombang "Melayu Baru" yang diberi tafsiran baru oleh mereka yang gelojoh dengan kuasa sudah mulai membuih. Tidak cukup dengan itu, perangai Tamrin pula lebih memberi masalah kepadanya dari membantu.

Di bawah sana, jentera Anwar dalam parti yang terdiri dari Setiausaha-Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri mulai menjalankan plot mereka. Jentera parti bukan lagi dikuasai oleh Ghaffar. Ini Ghaffar tidak sedar. Beberapa bulan menjelang pertandingan 1993, media terus memainkan peranan mereka dengan agresif tetapi halus. Tidak kurang dari tujuh kali Mahathir menyebut bahawa Ghaffar tidak akan dicabar. Akhbar-akhbar menunggu pendekatan yang terbaik untuk memerangkapkan kenyataan-kenyataan Mahathir. Apabila sesekali Mahathir terlepas cakap di hujung ucapanya bahawa "dalam pertandingan, demokrasi mesti dihormati", ayat itu akan menjadi ungkapan utama dalam akhbar. Apabila Mahathir tercakap di Terengganu, bahawa "seseorang pemimpin perlu undur apabila ia merasai ia telah terlalu lama dan tidak lagi boleh menyumbang kepada kebaikan parti...’ maka ayat itu menghiasi ruang akhbar dan TV secara besar-besaran pada keesukannya. Rakyat, terutamanya bakal perwakilan yakin kenyataan itu ditujukan kepada Ghaffar. Ghaffar sendiri makin keliru. Mahathir masih mahukannya atau tidak?

BERTANDING SECARA TAKTIKAL

Namun pada masa yang sama Anwar masih menyebut kepada umum bahawa dia sekali-kali tidak akan mencabar Ghaffar. Baginya, Ghaffar adalah seorang tokoh politik yang amat dihormatinya. Ghaffar adalah sebagai guru kepadanya. Ghaffar juga adalah sebagai bapa kepadanya. Orang UMNO yang masih kuat ingatan tentu tidak lupa dengan kata-kata penafiannya sebelum dia bertanding melawan Hj. Suhaimi dahulu. Penafian sebelum pengakuan adalah semata-mata ‘tactical’. Cakap hanya tinggal cakap. Kalau dengan Hj. Suhaimi dia boleh bertaktik begitu, apa salahnya dengan Ghaffar pula. Kemudian katakanlah pula..."saya perlu akur dengan kehendak parti....atau arus yang begitu kuat menuntut kepada perubahan...." Ini semua diamalkan oleh ramai pemimpin baik di peringkat kebangsaan, bahagian mahu pun cawangan.

Seperti yang dijangkakan kemuncak kepada konspirasi Anwar tiba apabila dia berjaya membohongi ratusan pemimpin UMNO dari seluruh negara untuk hadir di satu perhimpunan di PWTC. Muhamad Rahmat menjadi alat utama dalam peristiwa ini. Sebagai Setiausaha Agung UMNO dan Menteri Penerangan, dia menggunakan kedudukannya itu untuk menjayakan niat rakus Anwar. Dengan dibantu oleh Wan Ismail, bapa mertua Anwar, yang ada sedikit kepakaran dalam ‘perang saraf’, mereka berjaya mengumpulkan pemimpin-pemimpin parti untuk datang ke Kuala Lumpur bagi satu pengumuman yang mereka tidak tahu apa dia isinya? Inilah satu dosa Mat Bulat yang dia tidak boleh lupakan, jauh sekali untuk dimegahkannya. Pihak media dengan penuh perancangan meletakkan peristiwa ini sebagai sokongan umum untuk Anwar bertanding. Maka Anwar dengan angkuhnya menyebut. "Ini adalah iltizam.............." Apabila hasrat Anwar telah menjadi cakapan umum, Mahathir yang diketahui sebagai seorang yang suka menyebelahi calun yang kelihatan akan menang, sudah menjadi ‘A Malay in Dilemma’ sekali lagi. Megat Junid meyakinkan Mahathir Anwar akan menang.

NASIB GHAFFAR

Ghaffar makin berundur. Dia hanya berharapkan kepada Pak Lah dan Sanusi, yang jelas tidak mempunyai kekuatan yang diperlukan bagi menghadapi apa yang disebut sebagai ‘Arus Perdana’ dalam pemikiran ‘Melayu Baru’. Mahathir makin menyisihkan dirinya dari Ghaffar. Dia selalu berkata, bahawa adalah wajar baginya untuk berkecuali kerana sekiranya calun yang dia tidak sokong itu menang maka susah baginya untuk bekerjasama nanti. Akhirnya seperti yang ditentukan oleh sejarah. Anwar menang, Ghaffar kalah. UMNO seolah-olah menerima hakikat dengan cara pertandingan itu dijalankan. Pencalonan dari hampir semua bahagian dijalankan cara paling kotor dan tanpa kesopanan seperti yang pernah disaksikan oleh UMNO. Wang menguasai segala-galanya. Anwar tahu hal ini. Sebagai seorang pejuang Islam, dia menutup mata terhadap kedurjanaan ini. Malah dia menghalalkannya. Baginya matlamat menghalalkan cara. Ghaffar diperhinakan begitu sekali. Dia seolah-olah tidak ada tempat lagi dalam UMNO. Jasanya yang lepas-lepas bukan lagi jadi pertimbangan. Ghaffar sendiri sudah tidak kenal dengan ‘Melayu Baru’ yang menjadi anggota UMNO sekarang. Ghaffar menjadi terlalu kecil dalam parti yang dia turut mendewasakan sejak berpuluh-puluh tahun lagi.

Nafsu Anwar untuk ‘ke sana’ nampaknya makin menjadi. Seperti selalu, seolah-olah tidak ada apa-apa yang dilakukannya, dia terus menunjukkan rasa hormatnya kepada Ghaffar. Dipujinyalah Ghaffar. Pujian yang sudah terlambat, setelah teruk orang tua itu dibelasahnya! Pembohongan seperti itu sudah menjadi mainannya. Malah dia boleh berbohong dalam sebarang keadaan. Antara yang diketahui oleh segelintir orang ialah dia akan pastikan sesiapa yang dilantik oleh Mahathir, atau hasil sokongan lain-lain menteri, akan dihubunginya untuk menyatakan bahawa dialah yang berusaha memberi nama orang itu kepada Mahathir. Orang ini akan percaya terus dengan Anwar dan lantas merasai ‘terhutang budi’ dengannya. Yang peliknya, kadangkala, orang yang sebenarnya yang dia sokong adalah calun lain yang tidak terpilih untuk jawatan yang sama. Orang yang dikatakan dia sokong penuh itu adalah calun lain yang bukan pilihannya.

Sifat pembohong dan ingin mengambil ‘credit’ ini terbawa-bawa dalam pemilihan parti di peringkat bahagian hingga di hari ini. Dia boleh menyokong secara sulit ke atas dua calun yang bertentangan. Baginya siapa yang menang tetaplah orang dia. Apakah bentuk Islam yang diperjuangkan oleh Anwar dengan sikapnya sebegini, hanya dia sendirilah yang tahu!

Selepas pertandingan 1993 itu, UMNO seolah-olah sudah menerima kesesuaian gandingan Mahathir-Anwar. Macamlah gandingan 2M di tahun 80’an dahulu. Orang-orang Anwar yang mendabik dada dengan kemenangan tersebut juga sudah pasang angan-angan untuk turut tumpang naik dalam hiraki kepimpinan UMNO. Muhamad Taib, Mahyuddin, Rahim Tambi Chik tiba-tiba terlontar ke persada kepimpinan UMNO. Umum tahu berapa tinggi timbunan wang yang mereka pijak untuk naik ke atas itu. Tuhan maha adil. Dia mempunyai cara penyelesaiannya sendiri. Mat Taib bermasalah dengan wangnya. Rahim tertumpas akibat skandalnya, manakala Mahyuddin juga turut tersungkur.

KEMUNCULAN BRUTUS

Dalam keselesaan Anwar meletakkan punggungnya di kerusi Ghaffar itu, tiba-tiba UMNO dikejutkan dengan isu ‘Brutus’ oleh Mahathir dalam perhimpunan UMNO 1994, setahun selepas Anwar berganding dengan Mahathir. Mahathir tidak akan menyebut mengenai sejarah pengkhianatan Brutus itu kalau bukan kerana ia menjadi isu sekitar dirinya. Perwakilan membaca maksud Mahathir pada wajah Anwar yang turut duduk di atas pentas pada hari itu. Keresahan Mahathir dengan orang nombor duanya itu telah dihidu oleh umum. Nampaknya konspirasi Anwar bukan sekadar setakat Ghaffar sahaja. Anwar tidak akan puas selagi dia tidak sampai ‘di sana’.

Mengapa Anwar rakus dan tidak sabar menunggu. Mereka yang kenal Anwar dari zaman ABIMnya dahulu tahu akan jawabannya. Anwar tidak boleh dan tidak mahu jadi orang nombor dua. Dia mahu jadi orang nombor satu dalam serba serbi. Dia pastikan pemimpin-pemimpin ABIM yang lebih kanan darinya seperti Fadzil Noor dan Sanusi Junid, tersingkir dari persatuan itu. Dia lebih selesa kalau di bawahnya hadir mereka yang ‘mediocre’ dan tidak boleh mengatasinya. Itu sebab dia kekalkan mereka seperti Kamaruddin Jaafar, Kamaruddin Md. Noor, Annuar Tahir dan yang lain-lain yang tidak ternama dan tidak berupaya memimpin.

Rasa tidak selamat atau ‘insecured’ juga menyebabkan Anwar perlu segera mengganti Mahathir.

Tukang Forward

Nota: Sila rujuk beberapa reaksi ke artikel ini...

 counter.bloke.com